Antara perkara yang dicadangkan dalam Penyata Razak pada tahun 1956 ialah supaya
ditubuhkan sekolah-sekolah menengah aliran Melayu. Rentetan daripada itu ,Sekolah Menengah
Melayu yang pertama telah ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1958.
Di Muar , sekolah menengah
aliran Melayu yang pertama telah ditubuhkan pada tahun 1959. Oleh sebab kesuntukan masa
untuk mendapatkan bangunan sekolah sendiri , sekolah tersebut telah menumpang di bangunan
Sekolah Tinggi , Muar , yang dahulunya dikenali sebagai " Muar English School "
, manakala pelajar-pelajar perempuan telah ditempatkan di Sultan Abu Bakar Girl's School
yang sekarang dikenali sebagai Sekolah Menengah Sultan Abu Bakar.
Pada tahun 1961, pentadbiran
sekolah ini telah dipisahkan daripada Sekolah Tinggi , Muar , setelah mendapat sebuah
bangunan sementara , tidak jauh dari sekolah tersebut. Sekolah ini dinamakan Sekolah
Menengah Baru dan guru besarnya yang pertama ialah Encik Yusof bin Junid. Walau
bagaimanapun , pelajar perempuan masih lagi ditempatkan di bangunan Sekolah Sultan Abu
Bakar , kecuali mereka yang berada dalam tingkatan 4 dan tingkatan 5.
Pada awal tahun 1963, pembinaan
bangunan kekal bagi Sekolah Menengah Baru telah dimulakan. Bangunan tersebut telah
dapat disiapkan pada tahun itu juga , iaitu pada bulan Disember 1963. Pada tahun 1964 ,
semua pelajar sama ada dari Sekolah Menengah Baru mahupun yang menumpang di Sekolah Sultan
Abu Bakar , telah dipindahkan ke bangunan baru yang tersergam indah di Jalan Tunku
Bendahara. Sekolah ini telah diberi nama , SEKOLAH DATO' SRI AMAR DI RAJA.
Sekolah ini dinamakan sedemikian
sempena nama seorang tokoh yang telah banyak berjasa kepada negeri Johor. Beliau ialah
DATO' SRI AMAR DIRAJA ABDUL RAHMAN ANDAK , Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang pertama.
Beliau lebih dikenali sebagai ' SI KERDIL NAKAL ' kerana kebijaksanaannya mencari dalih
apabila Inggeris cuba menjadikan Johor sebagai tanah jajahannya.
Guru besar
pertama Sekolah Dato' Sri Amar DiRaja, ialah En. Jismi Mohd. Salleh.
Dalam usianya satu tahun, sekolah ini telah menampung seramai 961
pelajar dan mendapat khidmat 27 orang guru. Sekolah ini dilengkapi
dengan dua blok bilik darjah, dua makmal sains, sebuah bengkel seni
perusahaan dan sains rumahtangga, sebuah dewan dan sebuah kantin.
'PENDIDIKAN UNTUK MASYARAKAT' telah dipilih sebagai
motto sekolah ini. Allahyarham Saiful Bahari telah mencipta sebuah
lagu yang indah senikatanya untuk dijadikan lagu sekolah. Pada 26
Julai 1965, sekolah ini telah dirasmikan oleh YB. EN. KHIR BIN JOHARI
Menteri Pendidikan Malaysia ketika itu.
Kini setelah lebih tiga dekad
ditubuhkan, sekolah ini telah bertambah lengkap dengan adanya tambahan beberapa blok baru,
termasuk bilik darjah, makmal sains, blok gotong-royong dan surau. Pada tahun 1992,
sekolah ini telah diperlengkap dengan bilik mesyuarat yang terletak di tingkat dua, blok
G. Akibat pembangunan yang pesat dalam bidang sukan, pada tahun 1995, Sek. Dato' Sri Amar
Diraja , telah mencatat sejarah dengan pembinaan gimnasium dan trek.
Pertambahan bilangan
pelajar di sekolah ini amat menggalakkan. Pada tahun 1965, terdapat seramai 1420 pelajar
menuntut di sekolah ini. Pengambilan pelajar tingkatan enam, dimulakan pada 1967.
Perkhidmatan siswazah dari luar negara telah diambil, akibat pertambahan bilangan pelajar
yang tidak seiring dengan pertambahan tenaga pengajar tempatan. Antara siswazah luar
negara yang telah berkhidmat di sekolah ini ialah En. Gardjito dari Republik Indonesia,
Mr. Bruno dari Australia, guru-guru dari Itali dan beberapa negara lain di dunia. Pada
awal 80-an, terdapat ramai bekas pelajar yang mencurahkan bakti di sekolah ini. Sejak
ditubuhkan, sekolah ini telah banyak melahirkan cendekiawan dalam pelbagai bidang.